(2013) Lawatan ke bandar Kuantan

on . Posted in News

5 Jun 2013 (Rabu) - Hari yang panas terik tidak menjadi halangan bagi 5 pelajar Bahasa Melayu for International Students (BMfIS), Ryan Broce, Sean Dolan, Scott Abel, Matthew Ropp dan Glynnis White diiringi oleh fasilitator program ke Kuantan bagi aktiviti yang akan memperkenalkan mereka kepada perniagaan kedai yang terkenal. Selepas menerima maklumat tentang aktiviti hari itu di kelas, mereka bertolak ke Kuantan dari UMP kira-kira jam10.30 pagi. Apabila sampai di bandar Kuantan, mereka dibahagikan  kepada dua kumpulan dan setiap kumpulan ditugaskan melawat kedai kain, kedai basikal, kedai rempah dan kedai keropok ikan dan merekod pemantauan mereka serta mewawancara pekedai yang ada. Melalui pemantauan mereka, banyak maklumat  tentang kegiatan ekonomi masyarakat Kuantan telah mereka perolehi. Wawancara yang dilakukan membolehkan mereka memahami selok belok perniagaan di Jalan Besar. Soalan yang ditanya berkisar tentang sejarah kedai, pengurusan kedai, modal yang digunakan, pengunjung yang datang, keuntungan perniagaan serta perjalanan harian di kedai. Segala tugasan mereka bertujuan menyediakan suasana yang lebih autentik bagi penggunaan Bahasa Melayu bagi pergaulan yang berunsurkan ekonomi. Mereka juga dapat mengenali keunikan kegiatan ekonomi Kuantan di Jalan Besar yang walaupun kelihatan lama, tetapi masih mengikut peredaran zaman dan tetap dikunjungi orang ramai. Ada juga pelajar yang membeli barangan seperti keropok ikan. Selepas selesai tugasan mereka di situ, pelajar serta fasilitator yang mengiringi mereka berkumpul semula dan ke Teluk Cempedak. Setibanya di sana, mereka mengunjungi sebuah kedai cenderamata. Para pelajar meneruskan tugasan mereka di situ. Glynnis turut menyerlahkan bakat muziknya dengan mencuba beberapa peralatan muzik tradisional. Selesai aktiviti mereka di Teluk Cempedak, mereka menjamu selera  dan bergerak pulang ke UMP. Sesi kesimpulan diadakan keesokkan harinya, di mana segala pemantauan serta penemuan pelajar dari sesi wawancara di bentangkan kedua-dua kumpulan di kelas.