(2013) Lawatan ke Bandar Pekan

on . Posted in News

10 Julai 2013 (Rabu) - Satu lawatan sambil belajar ke bandar Pekan telah dijalankan untuk memperkenalkan bandar Pekan kepada pelajar-pelajar BMfIS. Lawatan ini telah disertai oleh 4 orang fasilitator BMfIS, Dain, Rozanne, Djah dan Zainab serta 5 orang pelajar BMfIS, Ryan, Seon, Glynnis, Scott dan Matt. Para pelajar bersama fasilitator bertolak dari UMP pada jam 9.00 pagi. Sebelum memulakan perjalanan pelajar telah diberikan pendedahan tentang bandar Pekan dan Muzium Sultan Abu Bakar. Destinasi pertama yang dikunjungi adalah Perpustakaan Daerah Pekan. Di perpustakaan, para pelajar mendapat informasi tentang sejarah Pekan daripada pustakawan yang bertugas. Seterusnya, mereka diberi tugasan oleh fasilitator untuk membincangkan tentang beberapa tajuk dengan menjadikan buku di perpustakaan sebagai bahan rujukan. Setelah selesai tugasan tesebut mereka meneruskan perjalanan ke Muzium Sultan Abu Bakar. Muzium Sultan Abu Bakar merupakan istana tinggalan yang dahulunya dikenali sebagai Istana Kota Beram. Para pelajar mendapat banyak informasi tentang bagaimana penubuhan bandar Pekan, rakyat Asli di Pahang, baju rasmi Raja-raja, alat muzik dan permainan tradisional di Pahang serta banyak lagi fakta dan bahan yang menarik yang dapat dilihat di muzium itu. Kebanyakan pelajar berasa sangat berpuas hati dengan seni dan kebudayaan Pahang yang dipamerkan di muzium itu. Lawatan tersebut tamat pada pukul 1.00 tengahari.