(2013) Lawatan ke Sg Lembing

on . Posted in News

20 Julai 2013 (Sabtu) - Pelajar BMfIS iaitu Joe telah dibawa melawat ke Sungai Lembing untuk bersiar-siar sambil belajar. Joe dan fasilitatornya bertolak dari UMP pada jam 5.30 pagi dengan menaiki kereta. Kira-kira pada jam 6.00 pagi, mereka sampai di Sungai Lembing. Perkara pertama yang dilakukan ialah mendaki Gunung Panorama yang terkenal di Sungai Lembing bagi menikmati permandangan dan matahari terbit di Sungai Lembing. Agak sukar untuk mendaki gunung tersebut kerana tangga yang ada agak tinggi dan curam. Walaupun yang demikian, mereka tetap berjaya sampai ke puncak gunung dalam masa lebih kurang 30 minit.  Mereka menikmati kabus yang menebal dalam perjalanan sampai ke puncak gunung tersebut sambil menyentuhnya.

Apabila sampai ke puncak, keadaan sangat meriah kerana terdapat ramai pengunjung yang datang pada hari tersebut. Mereka terpaksa mencari tempat yang sesuai untuk melihat matahari terbit. Tetapi malangnya, oleh kerana kabus terlalu tebal menyebabkan mereka tidak berpeluang untuk menyaksikan fenomena semulajadi itu. Meskipun kecewa, mereka masih dapat menyaksikan permandangan dari puncak Gunung Panorama yang cukup indah. Selesai merakamkan beberapa keping gambar sebagai kenangan, mereka terus menuju ke kampung Sungai Lembing untuk bersarapan. Mereka bernasib baik kerana mereka merupakan pengunjung pertama yang sampai ke kedai makanan popular di Sungai Lembing itu. Apa yang menariknya di kedai makan tersebut adalah mereka menyediakan makanan asli buatan Kampong Sungai Lembing seperti mi Sungai Lembing (sangat popular di seluruh Pahang di kalangan orang cina dan india), Yong Tau Fu yang popular dikalangan orang melayu sebagai “taufu sumbat”. Mereka mempelbagaikan pilihan dengan adanya “cili sumbat”, “terung sumbat”, “kubis sumbat”, dan banyak lagi. Harga yang ditawarkan pula sangat murah dan berpatutan.

Selesai bersarapan, mereka bersiar-siar ke Pasar Tani Sungai Lembing. Mereka melalui jambatan gantung untuk sampai ke satu perkampungan di pendalaman Sungai Lembing. Di kampung tersebut, mereka melawat ke kedai atau kilang membuat mi Sungai Lembing dan yang amat memeranjatkan semasa lawatan, penduduk kampung  masih menggunakan alatan memasak zaman dahulu . Mereka hanya menggunakan kayu untuk menghidupkan api. Minuman limau madu yang dijual juga amat sedap. Sesudah itu, mereka ke kedai bersebelahan untuk melihat produk biskut telur yang tulen dengan pelbagai perisa yang dibuat.

Lawatan yang seterusnya adalah ke Gua Charas. Di Gua Charas, terdapat banyak patung penyembahan dan terdapat satu tempat ibadat di bahagian bawah gua. Setiap orang dikenakan bayaran RM 2 untuk masuk ke dalam gua. Terdapat banyak batu besar yang masih dikekalkan dan yang mengejutkan ialah terdapat batu yang berbentuk seperti patung penyembahan. Menurut orang kampung semua batu-batu tersebut adalah terjadi secara semulajadi. Selain banyak patung penyembahan cina (Buddha), terdapat juga patung Thai dan India dalam gua ini. Di penghujung Gua Charas ini, ada satu patung yang dikenali “Sleeping Buddha” yang besar dan cantik. Terdapat banyak batu yang menyerupai bentuk haiwan seperti ayam, helang, ikan dan sebagainya. Apa yang menariknya, setiap hari pada jam 11.30 pagi hingga 12.15 tengah hari, pancaran matahari akan terpancar pada badan “Sleeping Buddha” ini melalui satu lubang di atas gua.