BMfIS @ MACCE

on . Posted in Archieve News

    English Teaching Assistant (ETA) merupakan satu program kerjasama di antara Malaysia-American Commission on Education Exchange (MACEE) dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di mana peserta ETA ini ditaja oleh biasiswa Fulbright Amerika Syarikat dan Kerajaan Malaysia. Program di MACEE Jalan Imbi ini berlangsung  pada 9 sehingga 24 Januari 2013.  75 peserta ETA yang terlibat ini adalah penutur asal Bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat, dan ditempatkan di sekolah-sekolah di beberapa buah negeri yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia selama setahun.  Mereka menjadi tenaga pengajar bahasa Inggeris bagi sekolah-sekolah yang terpilih ini yang kebanyakannya adalah dari luar bandar.

           Program asas komunikasi Bahasa Melayu merupakan salah satu keperluan yang telah diminta dari pihak MACEE untuk ditawarkan kepada peserta ETA melalui Profesor James Collins iaitu konsultan bagi program Bahasa Melayu for International Students (BMfIS) di Universiti Malaysia Pahang.

Penyelaras program BMfIS di UMP iaitu Dr Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi telah membantu dalam urusan penyediaan modul dan bahan pengajaran dan pembelajaran bagi program asas komunikasi Bahasa Melayu ini. Empat orang pelajar UMP terpilih sebagai fasilitator program ini. Mereka adalah Nurainatul Fatimah Binti Burhanuddin (Fakulti Teknologi), Choy Chok Hong (Fakulti Kejuruteraan Komputer), Shahida Binti Mohd Zain (Fakulti Teknologi) dan Rozanne Shamini A/P Francis (Fakulti Kejuruteraan Komputer) yang juga merupakan fasilitator yang pernah terlibat dalam program BMfIS UMP yang dijalankan pada bulan Mei sehingga Julai setiap tahun.   

            Program asas komunikasi Bahasa Melayu ini bertujuan untuk memberi peserta pengenalan asas serta latihan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu. Antara topik yang diketengahkan sewaktu program ini adalah seperti nama, umur, harga, hari, makanan dan keluarga. Seorang fasilitator bertanggungjawab ke atas satu kelas yang terdiri daripada 18 hingga 19 orang.  Syarat utama sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas ialah peserta wajib menggunakan Bahasa Melayu secara keseluruhan. Fasilitator juga tidak dibenarkan untuk menggunakan walaupun satu patah perkataan dalam bahasa Inggeris.   Bahasa Inggeris hanya dibenarkan digunakan pada setiap hari Rabu selama 30 minit di mana sesi soal-jawab diadakan di antara peserta dan Profesor James Collins dan Dr Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi. Sewaktu sesi ini peserta akan bertanyakan soalan berkaitan nahu dan juga kemusykilan perkataan yang sama tetapi penggunaan berbeza seperti contoh ‘kami dan kita’, ‘selepas dan setelah’ dan ‘separuh dan sebahagian’.

            Setelah program tamat, peserta diberi borang penilaian bagi menilai keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran asas komunikasi Bahasa Melayu ini. Hasil soal-selidik mendapati banyak reaksi positif dari para peserta berkenaan program ini terutamanya dari sudut penggunaan bahan pengajaran dan pembelajaran yang autentik. Teknik untuk menggunakan Bahasa Melayu secara seratus-peratus jugak berkesan bagi kebanyakan peserta. Mereka juga gembira kerana pendekatan strategi pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar amat efektif dalam membantu mereka menggunakan bahasa dalam konteks yang bersesuaian.

Walaupun program ini telah tamat, kebanyakan peserta masih lagi berhubung dengan fasilitator dari UMP ini melalui facebook. Mereka telah memberi maklumbalas menyatakan program asas komunikasi bahasa Melayu yang mereka jalani tempohari banyak membantu mereka dalam berkomunikasi dengan masyarakat setempat. Mereka menyatakan jutaan terima kasih kepada pihak UMP kerana pendedahan kepada asas komunikasi bahasa Melayu ini sangat bermanafaat kepada mereka terutamanya kepada mereka yang ditempatkan di kawasan-kawasan pendalaman di Malaysia seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Yang paling utama ialah, pembelajaran asas komunikasi bahasa Melayu ini dapat membantu peserta dalam menjalani kehidupan seharian selama mereka berada di Malaysia. Program ini juga telah memberikan pengalaman yang amat bermakna kepada fasilitator dalam penglibatan diri mereka di peringkat antarabangsa.