(2012) Lawatan ke bandar Pekan

on . Posted in Archieve News

Pada 14/6/2012 (Hari Khamis), fasilitator BMfIS, Chong dan Aina bersama-sama 2 orang pelajar BMfIS, Derek dan Matt telah pergi ke Bandar Pekan, Pahang. Objektif lawatan ini ialah untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai Bandar Diraja Pekan, iaitu bahagian lama bandar diberi keutamaan dalam lawatan ini.

Fasilitator bersama pelajar dibawa makan sarapan pagi dengan menjamah makanan tradisional Melayu seperti Nasi Lemak dan Pulut Panggang sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju. Sesampainya di Bandar Pekan, pelajar diberikan tugas untuk mewawancara penduduk tempatan tentang sejarah bandar Pekan dan destinasi menarik di situ. Setiap pelajar diiringi oleh seorang fasilitator dalam aktiviti wawancara mereka. Pelajar juga dikehendaki untuk mewawancara penduduk berlainan kaum, iaitu  kaum Melayu, Cina dan India. Perkara  ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang peranan setiap kaum yang berlainan dalam sektor ekonomi di Bandar Pekan.

Selepas itu, pelajar dibawa melawat ke Istana Leban Chondong yang suatu ketika dahulu pernah menjadi tempat kediaman golongan Raja Pekan. Istana Leban Chondong kemudiannya dibaik pulih dan ditukarkan kepada Perpustakaan Daerah Pekan. Pelajar boleh melihat perbezaan struktur Istana zaman dahulu dengan zaman sekarang kerana rekaan Istana Leban Chondong adalah lebih kepada ciri-ciri kolonial seperti British. Pelajar dibawa pula untuk melawat Perpustakaan Daerah Pekan yang baru siap dibina di Bandar Pekan dan membuat aktiviti di situ. Pelajar ditugaskan untuk memilih salah sebuah buku di Perpustakaan tersebut dan mendeskripsikan kandungan yang terdapat dalam buku tersebut.  Pelajar juga diminta untuk mewawancara pegawai perpustakaan tentang butir-butir yang lebih lanjut mengenai Pekan lama.

Sepanjang lawatan ke Bandar Pekan, pelajar dibawa untuk melawat Padang Polo iaitu tempat sukan riadah Raja Pekan, Masjid Sultan Abdullah, Pintu Gerbang Istana Pekan dan juga bangunan-bangunan bersejarah di Bandar Pekan. Selain itu, pelajar juga dibawa melawat ke Makam Diraja Pekan, iaitu merupakan tempat persemadian Sultan Abu Bakar, Raja Fatimah binti Sultan Iskandar dan juga Tengku Afzan. Seorang penjaga makam yang berada disitu juga menerangkan lebih lanjut tentang Makam Diraja kepada fasilitator dan juga pelajar.

Aktiviti lawatan ke Bandar Pekan tamat pada pukul 1.30 tengahari. Fasilitator dan pelajar kemudiannya pulang semula ke UMP Gambang.